Selepas permulaan hambar dalam dua peringkat perlumbaan Tour de Selangor, pasukan Malaysia akhirnya mencatat keputusan positif dalam peringkat ketiga menerusi Mohd Sofian Nabil Omar yang berjaya menaiki podium.

Malaysia adalah antara tiga pasukan kebangsaan yang menyertai saingan kali ini selain daripada pasukan Vietnam dan Thailand.

Namun, prestasi mereka dalam dua peringkat sebelum ini gagal memberikan tentangan sengit buat pasukan lawan dan berada di tangga ke-13 keseluruhan pasukan.

Situasi itu ternyata berbeza dalam peringkat ketiga dalam laluan dari Shah Alam ke Pandan Indah yang menyaksikan percaturan berjaya, terutama menerusi Mohd Sofian yang mengekalkan kedudukan di hadapan untuk membuat pecutan dan mengakhiri perlumbaan di tempat kedua di belakang pelumba Sapura Cycling, Aiman Cahyadi.

“Tiga hari kami cuba mendapatkan podium, jadi kejayaan hari ini memberikan kelegaan buat kami.

“Peringkat ini agak sukar tetapi kami berjaya. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu,” kata Mohd Sofian.

Selain Mohd Sofian, pasukan Malaysia turut dibarisi Yusrizal Yusoff, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri, dan pemenang pingat emas Sukan SEA ujian masa berbasikal lebuh raya, iaitu pasangan kembar Muhammad Ameen dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal.

Dengan hanya dua lagi peringkat sebelum saingan ini melabuhkan tirai, Malaysia masih optimis untuk menamatkan Tour de Selangor dalam kelompok terbaik, dengan syarat mereka mampu mengekalkan momentum kejayaan hari ini.

“Daripada peringkat pertama sehingga peringkat ketiga, saya cuba untuk memperbaiki pasukan untuk mendapatkan kelompok 10 terbaik,” tambah Muhammad Ameer.

“Saingan kali ini sangat berbeza kerana ketika Sukan SEA, saya beraksi dalam ujian masa berpasukan,” ujar Muhammad Ameen.