Atlet karate kata, Ooi San Hong, perlu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai peluang terakhir untuk kekal dalam Program Podium ekoran digugurkan atas faktor usia.

Hanya San Hong yang digugurkan daripada Program Podium karate tetapi tetap diberi peluang kedua dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di Paris, Mei depan.

Setakat ini, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mendapat suntikan terakhir bagi program Road To Tokyo dengan menerima dana sebanyak RM500,000.

Bagaimanapun, setakat ini dana itu ditumpukan kepada dua atlet tumpuan karate iaitu R. Shamendran dan S. Prem Kumar dengan misi melayakkan diri ke temasya Olimpik.

"Untuk kelayakan ini, kami ada atlet yang bukan dalam program Olimpik. Ia bukan program Olimpik tetapi dimasukkan dalam kelayakan," kata Setiausaha Agung MAKAF, Nur Azmin Ahmad.

Badan itu juga optimis Malaysia tetap akan menyaksikan seorang atlet karate negara di pentas Olimpik yang bermula Julai depan.

"Mengenai peluang, mereka perlukan pingat untuk layak. Kalau kami dapat wildcard, kami fikir kemudian."