Pengarah teknikal Taekwondo Malaysia (TM), R. Dhanaraj, mengesahkan persatuan itu bercadang untuk menghantar sekurang-kurangnya tujuh atlet ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Menurut Dhanaraj, kata putus beberapa atlet yang akan dihantar ke Sukan Asia juga bergantung kepada prestasi mereka.

Atlet taekwondo negara kini sedang beraksi dalam Kejohanan Taekwondo Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam dan prestasi mereka dalam kejohanan itu akan turut diambil kira.

Dhanaraj juga mengakui atlet yang akan dihantar ke Sukan Asia kali ini juga perlu berada di tahap terbaik memandangkan saingan dalam temasya itu juga tinggi.

"Buat masa ini, kami akan melihat prestasi mereka. Hari ini, pasukan telah berlepas ke Vietnam.

"Jadi, kami akan lihat prestasi mereka di sana. Mungkin, kami boleh cadangkan berdasarkan kedudukan atau kutipan pingat," kata Dhanaraj.

Dhanaraj juga berpuas hati dengan program persiapan skuad taekwondo negara ke Sukan Asia.

Pemenang emas Sukan SEA dalam kategori bawah 68 kilogram, Rozaimi Rozali, adalah antara atlet taekwondo yang dijangka mengetuai cabaran skuad negara.

"Selepas pulang dari Vietnam, mereka akan ke Korea Selatan. Sebelum ini, pasukan terbahagi kepada dua, ada sesetengah daripada mereka berlatih di Thailand dan ada di Korea Selatan," katanya lagi.