Peninju Angkatan Tentera Malaysia, Jemis Wong, dan wakil Felda, Kenny Pangkas, akan melakukan perhitungan dalam final Tinju Piala Malaysia kategori 52 kilogram setelah mengatasi pencabar masing-masing dalam separuh akhir di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, sebentar tadi.

Aksi separuh akhir pertama di antara Jemis dan wakil Kuala Lumpur, Azlizam Abu Talib, berlangsung sengit dalam usaha merebut tiket ke final.

Jemis yang mara selepas menewaskan peninju dari Negeri Sembilan, Supriadi, dilabel sebagai pilihan menerusi aksi mantap sepanjang kempen kejohanan.

Ternyata Azlizam bergelut untuk menandingi kehebatan lawannya itu dalam ketiga-tiga pusingan, sekali gus menyaksikan Jemis mara ke final dengan kemenangan mutlak kiraan mata.

Satu lagi saingan separuh akhir menyaksikan pertemuan Kenny dan peninju Johor, Norshahrul Norshukri.

Kedua-duanya yang melepasi suku akhir dengan kemenangan agak mudah berdepan situasi sengit untuk mara ke final.

Aksi mendebarkan dipamer kedua-dua peninju ketika pusingan pertama, namun Kenny lebih unggul dalam pusingan seterusnya untuk meraih kelebihan.

Kenny membuktikan kehebatan untuk menutup aksi ketiga dengan cemerlang menerusi kiraan mata, sekali gus menempah tiket final yang akan berlangsung esok.