Tinju Piala Malaysia: Fuad tepati ramalan

Oleh Staff Writer 12 Oktober 2019 189
Tinju Piala Malaysia: Fuad tepati ramalan
Peninju kebangsaan, Fuad Redzuan, menepati ramalan untuk muncul juara kategori lelaki elit 49 kilogram Kejohanan Tinju Piala Malaysia apabila menundukkan wakil Kedah, Shahrin Shaari, di Paroi hari ini.

Fuad, peninju kelahiran Negeri Sembilan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bermula dengan baik dalam pusingan pertama menerusi serangan berterusan tanpa memberikan ruang buat Shahrin.

Tumbukan tepat menjadi senjata utamanya untuk menungguli saingan awal itu. Acahan serta pukulan uppercut yang menjadi terus memberi masalah buat Shahrin dalam pusingan kedua.

Fuad yang pernah layak ke peringkat suku akhir Sukan Komanwel Glasgow meneruskan aksi konsisiten untuk menang mudah dengan kiraan mata 5-0.

Kemenangan itu  pasti memberi suntikan semangat sebelum pasukan tinju kebangsaan berlepas ke Kazakhstan untuk latihan pusat sebelum kembali untuk saingan Sukan SEA Filipina.

Sementara itu, dalam kategori wanita pula, peninju Wilayah Persekutuan, Siti Fatimah Hassan, juga tidak berdepan masalah untuk muncul juara bagi wanita elit 51kg.

Peninju berusia 21 tahun itu menewaskan wakil Perak, Norazarina Lim, dengan kiraan mata 5-0.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen