Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan laporan Nadi Arena bahawa tiga atlet remaja dikesan positif doping bahan terlarang jenis stanozolol menerusi ujian yang dijalankan pegawai Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Lebih memeranjatkan, mereka terdiri daripada atlet dalam lingkungan usia 18 hingga 21 tahun.

"Pada 28 Mac lalu, pihak IWF berkunjung ke Bukit Jalil untuk mengadakan ujian doping mengejut ke atas atlet kita yang akan menyertai Sukan Komanwel Gold Coast. Malangnya pada waktu itu, atlet Malaysia sedang menjalani latihan di luar negara (Balik Papan, Indonesia).

"Lalu, ujian doping dilakukan ke atas atlet program angkat berat yang lain.

"Pada 11 Mei lalu, PABM telah menerima keputusan daripada unit doping IWF yang menyatakan tiga atlet negara didapati positif. Ketiga-tiga atlet tersebut telah dimaklumkan dan mereka mahu ujian doping sampel 'B' dijalankan," ujar pemangku setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail.

Awal bulan ini, kejayaan pemenang pingat gangsa kategori 88 kilogram, Muhammad Fazrul Azrie Mohdad, dalam Sukan Komanwel bulan lalu ditarik balik setelah sampel B yang dicabarnya kekal positif bahan stanozolol.

Sehubungan itu, Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mengadakan mesyuarat melibatkan pengurusan tertinggi untuk membincangkan hala tuju sukan angkat berat Malaysia selain memutuskan sama ada acara itu perlu dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, September depan.