Tiga atlet angkat berat remaja negara gagal menghadiri sesi pendengaran kes doping, namun Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) masih mahu cuba menyelamatkan karier barisan atlet muda ini dengan memberi tempoh seminggu untuk mengemukakan surat bertulis.

Tiga atlet tersebut adalah Muhammad Zaidi Nordin, Muhammad Hakimie Haikal dan Romny Jesos yang positif bahan terlarang, stanozolol.

Mereka sepatutnya menghadiri sesi pendengaran hari ini yang diadakan di Johor Bahru bagi membela diri, namun Jawatankuasa Disiplin PABM memaklumkan tiada kelibat ketiga-tiga atlet berkenaan.

PABM memberikan tempoh tujuh hari untuk mereka memberikan sebab menerusi surat bertulis sebelum PABM menghantar laporan penuh kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada hujung bulan ini untuk menentukan hukuman yang bakal dikenakan.

"Kami akan meminta kenyataan bertulis daripada atlet-atlet ini dalam tempoh seminggu dan PABM akan mengkajinya sebelum menghantar laporan kepada IWF," kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PABM, Gerarld Rentap Jabu.

Ia berbeza dengan dua lagi atlet yang turut disabitkan dengan kes dopping, Muhd Hafifi Mansor dan Muhd Fazrul Azrie Mohdad, yang hadir sehari lebih awal hari ini untuk memberi keterangan.

PABM juga memaklumkan Hafifi sudah pun menyerahkan kembali pingat emas yang dimenanginya ketika menyertai Kejohanan Terbuka Australia pada Mac 2017.

"Hukuman telah dijatuhkan selama empat tahun kepada Hafifi dan dia masih memiliki hak untuk membuat rayuan dan PABM akan memberikan sokongan kepadanya."