Nur Eli Ellina Azmi menafikan kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam yang mendakwa sudah menghantar wakil bagi menjelaskan keadaan sebenar mengapa dia tidak tersenarai ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tatkala MSN dan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) turut sekali lagi tampil dengan penjelasan mengenai dakwaan bekas atlet gimnastik negara itu.

MSN berkata elaun hanya akan diberikan kepada atlet yang berada di dalam program persediaan ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 manakala nama Ellina tidak tersenarai.

Tambah MSN, selepas tamatnya kontrak Ellina dalam Program Kita Juara 2017, dia masih menginap di asrama Casa MSN dan mendapat makanan secukupnya di kafeteria MSN selain rawatan rapi di Institut Sukan Negara (ISN).

"Pemilihan atlet ke Sukan Komanwel bukan hak MSN tetapi hak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MGF.

"MSN hanya membantu menyediakan program bersama MGF agar atlet kita beraksi lebih mantap dan mendapat keputusan lebih baik," ujar Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

MGF pula mendakwa sudah memberi ruang kepada Ellina untuk membuktikan kemampuannya dalam sesi ujian kawalan yang dijalankan biarpun senarai awal menyaksikan namanya keciciran ke Gold Coast.

Enggan memanjangkan isu ini, MGF dan MSN bersedia berjumpa dengan Ellina agar dapat mencari penyelesaian positif.

"Kami ada mengadakan perbincangan dengan jurulatihnya dan MSN tetapi dia masih tidak berpuas hati.

"Pada hari dia menyerahkan surat persaraan, dalam masa sama kami ada melakukan ujian, namun dia tidak menghadirinya," ujar Presiden MGF, Datuk Jaya Al Bakri.

Ellina yang ditemui hari ini menjelaskan sebaik tamat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos tahun lalu, dia masih meneruskan latihan seperti biasa di MSN sejak November 2017 hingga Januari 2018.

Ini kerana dia beranggapan peluang masih ada buat dirinya tersenarai dalam Sukan Komanwel Gold Coast biarpun MGF sudah menamakan tiga atlet, iaitu Tracie Ang, Tan Ing Yueh dan Farah Ann Abdul Hadi dalam temasya itu.

Namun, setelah dia berlatih sehingga Januari, tiada sebarang perkhabaran mengenai kontrak dan elaun untuknya, tambahan pula tiada lagi kemudahan penginapan di Casa MSN, Bukit Jalil selepas Oktober 2017 sehingga memaksa dia bertekad untuk bersara pada 2 Februari 2018.

"Sebenarnya, tiada seorang pun pegawai MSN yang berjumpa saya. Mereka hanya membalas surat saya tanpa mengadakan perjumpaan.

"Selepas menyerahkan surat persaraan, mereka hanya menelefon saya, juga tanpa perjumpaan," katanya.

Ellina juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa pihak MGF dan MSN ada menghantar wakil berjumpa dengannya, sebaliknya hanyalah satu perbualan telefon untuk menjelaskan mengapa dia tidak tersenarai ke Gold Coast.

"Mereka cakap akan ada kontrak (yang ditawarkan kepada saya) pada Januari.

"Saya pun tunggulah sehingga hujung Januari tetapi masih juga tiada kontrak ditawarkan.

"Jadi, buat apa saya nak tunggu lagi. Lalu saya menyerahkan surat persaraan pada Februari," ujarnya lagi.