Tiada istilah rehat buat pemain skuasy negara, Ng Eain Yow, biarpun baru sahaja menjuarai kejohanan pertama tahun ini dengan fokus seterusnya terarah kepada Kejohanan Skuasy Kebangsaan yang akan membuka tirai, Isnin depan.

Tahun 2017 menyaksikan Eain Yow beralih ke peringkat senior dan biarpun bermula agak hambar, dia akhirnya berjaya menamatkan penantian dengan menjuarai Kejohanan Skuasy Wilayah Utara Australia, 15 Mei lalu.

Berbaki kurang daripada seminggu, Eain Yow sekali lagi perlu mempamerkan persembahan cemerlang di laman sendiri.

Tahun lalu, pemain berusia 19 tahun itu hanya mampu berpuas hati kedudukan ketiga keseluruhan.

"Saya sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga pada tahun lalu, jadi saya berharap dapat melangkah ke final pada tahun ini," katanya..

Pada masa sama, dia juga bersemangat untuk memastikan slot beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi miliknya tatkala menyedari saingan merebut tempat pasti sengit.

"Kami masih belum menamakan senarai akhir, tetapi setakat ini, saya diberitahu bahawa saya akan menyertai pasukan dalam Sukan SEA 2017 nanti," jelasnya.