Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, berdepan tugas sukar untuk mendominasi acara reben biru Terbuka Malaysia walaupun tanpa pencabar utama, Eric Shaun Cray dari Filipina kerana kejohanan itu turut disertai 54 atlet luar negara.

Khairul Hafiz akan menjadi tumpuan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas meraih pingat emas acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, tugas kali ini lebih sukar kerana Terbuka Malaysia akan turut disertai jaguh Jepun, Korea Selatan, Kuwait dan Qatar.

"Acara 100m bakal menyaksikan kelibat pelari kedua dari Filipina serta ditambah dengan peserta dari negara lain, jadi Khairul akan menghadapi saingan hebat," kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.

Secara keseluruhan, 651 atlet akan mengambil bahagian sambil beberapa jaguh negara akan mewakili negeri masing-masing.

Kejohanan itu juga merupakan ujian penting buat KOM kerana mereka akan dipantau wakil Persatuan Olahraga Asia.

"Pihak majlis KOM telah mencadangkan agar kami menganjurkan kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Trek & Balapan Asia, Grand Prix Asia serta aksi kelayakan Kejohanan Dunia," tambahnya.