Jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang, diberikan insentif keseluruhan RM20,000 oleh kerajaan negeri Terengganu susulan persembahan cemerlangnya dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, minggu lalu.

Pelumba berusia 30 tahun itu memenangi satu pingat emas acara pecut dan pingat perak acara pecut berpasukan, namun kecewa apabila sekadar meraih pingat gangsa dalam acara kegemarannya, keirin.

Azizulhasni berkata dia kini bersedia mempamerkan kayuhan terbaik menjelang enam siri perlumbaan Piala Dunia UCI bermula di Paris, Perancis, 19 Oktober ini, serta dua lagi kejohanan penting tahun depan.

"Saya akan pulang ke Melbourne dan berehat selama dua minggu sebelum kembali berlatih menghadapi Piala Dunia.

"Selepas berakhir enam perlumbaan pada Januari, saya akan menyertai Kejohanan Dunia Trek UCI di Pruszkow, Poland pada Februari dan selepas itu Kejuaraan Asia," ujarnya dalam majlis bersama atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, malam tadi.

Turut diraikan dalam majlis sama ialah pemain skuasy, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan, yang menerima RM12,000 selepas merangkul pingat emas berpasukan serta gangsa acara perseorangan.

Jumlah sama juga dibawa pulang tekong berbisa, Muhammad Zulkifli Abd Razak, yang masih segar dengan pingat emas sepak takraw dalam acara regu dan gangsa berpasukan selain jurulatih, Ahmad Mohd Zain, yang diberikan imbuhan RM5,000.

Selain itu, sebanyak RM5,000 setiap seorang diraih anggota skuad hoki lelaki negara, Mohd Fitri Saari, Faizal Saari, Firhan Ashari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang tewas kepada Jepun 1-3 menerusi penentuan penalti dalam final.

Atlet pelayaran, Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman, pula masing-masing dihadiahkan RM3,000 selepas menyumbang pingat gangsa dalam acara campuran RS One.