Thailand menguasai Kejohanan Polo Air Terbuka Malaysia Ke-60 apabila muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, petang tadi.

Pasukan lelaki Thailand menumpaskan Filipina 4-2 melalui penalti selepas seri 7-7 manakala pasukan wanitanya mengatasi Hong Kong 10-6 dalam perlawanan akhir.

Pertembungan Thailand-Filipina itu adalah ulangan perlawanan pembukaan pusingan awal Kumpulan B pada hari pembukaan yang menyaksikan Filipina menang 12-4.

Begitupun, dalam final petang tadi, Thailand meningkatkan persembahan untuk menyaingi lawan dan akhirnya berjaya mengatasi Filipina dalam pertarungan penalti.

Thailand mara ke final selepas menundukkan Melaka 19-10 sementara Filipina mengatasi Negeri Sembilan 21-4 dalam separuh akhir.

Melaka menebus kehampaan apabila mengatasi Negeri Sembilan 11-10 untuk menduduki tempat ketiga.

Seperti pasukan lelakinya, wanita Thailand juga menebus kekalahan dalam pusingan awal kepada lawan Kumpulan A, Hong Kong.

Tumpas 6-9 dalam pertembungan pertama, pasukan Gajah Perang itu bangkit dengan kemenangan 10-6 dalam final.

Kuala Lumpur menebus kehampaan tumpas dalam separuh akhir kepada Thailand dengan menumpaskan Negeri Sembilan 11-2 untuk meraih pingat gangsa.

Sementara itu, Melaka muncul juara kategori lelaki bawah 15 tahun apabila menundukkan Kuala Lumpur 14-0 dalam perlawanan terakhir kejohanan yang dijalankan secara liga satu pusingan itu.

Melaka mengutip maksimum 12 mata sementara Negeri Sembilan kedua dengan sembilan mata. Sri Lanka di tempat ketiga.