Suasana suram terus menyelubungi skuad negara dalam Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA Ke-21 di Wuhan, China, hari ini.

Dalam saingan di Pusat Sukan Natatorium Wuhan itu, penerjun negara terus gagal meraih sebarang pingat dalam acara 3m berirama campuran dan 3m papan anjal wanita.

Gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Nur Dhabitah Sabri sekadar menamatkan cabaran di tempat keenam dalam acara 3m berirama campuran, petang tadi.

Mereka yang merekodkan pungutan 295.80 mata, bermula agak baik di tempat kedua sehinggalah terjunan ketiga.

Pasangan penerjun negara gagal meneruskan rentak cemerlang bermula dalam terjunan keempat, sekali gus jatuh ke tangga ketujuh sebelum bangkit memperbaiki kedudukan di tempat keenam selepas lima terjunan keseluruhan.