Penerjun negara, Ooi Tze Liang, masih mencari rentak pertandingan meskipun menampilkan persembahan baik dalam sesi kelayakan 3 meter papan anjal lelaki dalam siri kelima Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA 2018 di Kuala Lumpur.

Saingan di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur itu pada hari ini menyaksikan Tze Liang tidak berdepan masalah untuk meraih kedudukan teratas pusingan awal.

Dia mengumpul 395.70 mata untuk berkelebihan selesa di depan pencabar terdekat yang juga rakan sepasukan, Muhammad Syafiq Puteh.

Begitupun, Tze Liang mengakui tempoh yang lama tanpa pertandingan menyaksikan dia lebih menumpukan kepada mencari rentak.

Kali terakhir penerjun berusia 24 tahun tersebut beraksi dalam suasana kompetitif ialah dalam Sukan Asia Indonesia yang lalu.

"Saya berasa agak 'berat' dalam aksi hari ini sebab selepas Sukan Asia, kami diberi cuti sebulan sebelum menyambut latihan.

"Selepas berlatih sebulan, kami kembali dalam pertandingan dan tahap terjunan yang dilakukan semua peserta bukanlah yang senang.

"Semua peserta mempamerkan terjunan konsisten dan tanpa berlaku kesilapan besar.

"Oleh itu, saya amat berpuas hati dengan persembahan hari ini," katanya.

Acara 3 meter papan anjal individu lelaki itu turut menyaksikan penyertaan dua atlet muda negara, Bertrand Rhodict Anak Lises serta Enrique M. Anak Harold.

Selain saingan individu, Tze Liang juga akan turun beraksi dalam acara 3 meter papan anjal seirama bersama Syafiq, esok.