Terjun GP FINA: Tiada kelibat barisan bintang cetus tanda tanya

Oleh Staff Writer 13 November 2019 479
Terjun GP FINA: Tiada kelibat barisan bintang cetus tanda tanya
Ketiadaan nama besar ketika sesi latihan bebas mencetuskan misteri menjelang saingan Terjun Grand Prix FINA Kuala Lumpur yang akan membuka tirai Jumaat ini.

Kelibat atlet terjun yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik seperti Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee serta Wendy Ng Yan Yee tidak kelihatan ketika sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Hanya atlet muda seperti Loh Zhiayi, Syafiq Puteh, Jasmin Lai serta beberapa lagi muka baru yang turun menyertai sesi latihan pada waktu pagi.

Justeru, ketiadaan atlet berstatus bintang mencetus persoalan sama ada mereka tidak bertanding atau dikecualikan daripada sesi latihan pagi ini.

Saingan kali ini bakal menampilkan penyertaaan membabitkan 13 negara, termasuk tuan rumah, Malaysia.

"Pandelela dan Mun Yee kini lebih fokus untuk Piala Dunia dan Sukan Olimpik selain menjalani latihan kecergasan. Untuk Dhabitah, dia sedang menguruskan perkara lain," kata ketua jurulatih terjun negara, Christian Brooker.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen