Terjun: Brooker kecewa dengan Jun Hoong

Oleh Staff Writer 16 Januari 2020 3440
Terjun: Brooker kecewa dengan Jun Hoong
Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, kecewa apabila Cheong Jun Hoong memilih untuk meninggalkan skuad kebangsaan bagi mendapatkan sentuhan bekas pengendalinya, Yang Zhuliang, sambil menganggap bekas juara dunia itu memiliki potensi yang besar.

Skuad negara kehilangan jaguh utama apabila penerjun itu mengambil keputusan untuk berlatih di China bersama Zhuliang.

Bekas juara dunia acara 10m platform individu wanita pada 2017 itu berpeluang merampas semula status sebagai penerjun utama apabila hampir pulih sepenuhnya daripada pembedahan lutut, sekali gus memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, tindakannya meninggalkan skuad negara mengundang rasa kecewa Brooker.

"Kami amat kecewa, termasuk barisan kejurulatihan dan keseluruhan skuad Malaysia.

"Dia memilih untuk mengabaikan kami dan dirampas oleh jurulatih yang dikatakan menjadi racun dan membawa pengaruh buruk oleh ISN (Institut Sukan Negara) dan Kerajaan Malaysia.

"Latihannya di China turut dibiaya dan diluluskan tanpa sebarang perbincangan dengan jurulatih skuad negara mahupun ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia)," katanya

Jun Hoong berpeluang membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Terjun Grand Prix FINA di Sepanyol bulan depan.

Ia akan menjadi kejohanan pertamanya sejak berehat selama 16 bulan.

Sasaran utamanya ialah Kejohanan Piala Dunia di Jepun, yang turut menawarkan tiket ke Tokyo, April depan.

"Cara kelayakan ke Sukan Olimpik bagi sukan terjun ialah penerjun akan mendapatkan slot kelayakan itu buat negaranya dan negaranya akan menentukan mana-mana penerjun yang akan mewakili mereka.

"Sebagai contoh, Pandelela (Rinong) mendapatkan slot kelayakan dalam acara 10m individu dalam Kejohanan Dunia tahun lalu tetapi dia hanya meraihnya untuk Malaysia dan bukan dirinya.

"Jadi, kami masih boleh memilih dua penerjun tebaik untuk ke temasya itu," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen