Terengganu rai kejayaan atlet Sukan SEA, Sukan Para ASEAN

Oleh Tengku Danish Bahri   18 Disember 2017 121
Terengganu rai kejayaan atlet Sukan SEA, Sukan Para ASEAN
Seramai 132 atlet dan pegawai Terengganu diberi insentif oleh kerajaan negeri susulan kejayaan dalam Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN KL 2017, dalam satu majlis di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pelumba basikal paralimpik, Zuhairie Ahmad Tarmizi, muncul penerima terbanyak dengan jumlah insentif keseluruhan RM18,500 selepas memenangi tiga pingat emas dan satu perak.

Zuhairie, 27, yang sedang menyertai kem latihan kebangsaan di Velodrom Nasional Nilai, menyifatkan kejayaan itu sebagai pemangkin semangatnya menghadapi dua kejohanan besar tahun depan.

Menurutnya, skuad negara akan bersaing dalam Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Nilai, 16 Februari ini serta Kejohanan Trek Dunia UCI di Rio de Janeiro, Brazil pada bulan Mac.

“Latihan giat dijalankan setiap hari di bawah kendalian jurulatih, Johari Nayan, dan saya tekad memberikan yang terbaik walaupun tiada sasaran diletakkan.

“Hasil dorongan isteri, ibu bapa, jurulatih dan rakan sepasukan, saya yakin mampu membuktikan sesuatu,” ujar Zuhairie.

Atlet kelahiran Marang itu adalah antara yang dirai dalam Majlis Penyampaian Insentif Sukan SEA/Sukan Para ASEAN yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen