Terengganu meraih gelaran juara keseluruhan buat kali kelima berturut-turut dalam Kejohanan Judo Kebangsaan 2017 yang melabuhkan tirainya di Dewan Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, semalam.

Pungutan lapan pingat emas, lima perak dan enam gangsa membolehkan kontinjen Terengganu mengatasi pencabar terdekat, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang memungut lima pingat emas, lima perak dan lapan gangsa.

Perak dan Sarawak berkongsi kedudukan ketiga dengan mengutip satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Lima daripada lapan emas Terengganu disumbang dalam kategori wanita melalui Alyaa Yasmeen Rosali (48kg), Nurhidayu Muliar (57kg), Nik Norlydiawati Nik Azman (63kg), Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir (78kg) dan Noor Asnida Abd Razak (78kg ke atas).

Tiga lagi emas negeri itu diperoleh dalam kategori lelaki oleh Muhammad Alif Asnawi Azman (55kg), Mohd Farhan Mohd Fikri (73kg) dan Mohd Sahril Hafiz Abd Wahab (90kg).

Lebih manis lagi, Nik Norlydiawati turut diumumkan sebagai Atlet Wanita Terbaik dalam kejohanan edisi ke-55 itu. Dia turut memenangi anugerah itu pada kejohanan tahun lalu.

Atlet Lelaki Terbaik pula menjadi milik atlet SSTMI, Muhammad Haikal Iskandar Halidon.

Penguasan kontinjen Terengganu itu memberi gambaran cabaran yang akan diberikan juara bertahan acara judo Sukan Malaysia (Sukma) itu, dalam Sukma tahun hadapan, yang kali terakhir dipertandingkan pada 2013 di Kuala Lumpur.

“Saya sangat gembira mampu mengekalkan kejuaraan walaupun beberapa atlet gagal mencapai sasaran.

“Peluang untuk mempertahankan kejuaraan Sukma nampak cerah, namun kami perlu bekerja lebih keras lagi kerana negeri lain mula menunjukkan peningkatan.

"Tiga pingat emas dalam kategori lelaki juga daripada acara yang sama, tahun lalu.

“Sasaran awal hanya untuk mengutip enam pingat emas keseluruhan, malah kami mendapat tambahan dua pingat emas lagi dalam kategori wanita.

“Ini menunjukkan petanda yang baik untuk Sukma 2018 di Perak,” kata ketua jurulatih judo Terengganu, Marjan Abdullah.