Terbuka Thailand: Haiqal sandaran utama skuad pecut

Oleh Staff Writer 16 Mei 2019 646
Terbuka Thailand: Haiqal sandaran utama skuad pecut
Muhammad Haiqal Hanafi akan menggalas tugas untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara 100 meter buat skuad pecut negara dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand, bermula Sabtu ini.

Haiqal antara empat pelari pecut yang dihantar untuk menyertai kejohanan itu.

Rakan karib kepada pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, itu kini menghuni ranking kelima terbaik Asia Tenggara dengan catatan 10.46 saat.

Pelari negara akan menerima tentangan sengit daripada wakil tuan rumah, Jeerapong Menapra, selaku bekas pemenang pingat emas Sukan SEA dengan catatan terbaiknya musim ini adalah 10.34s.

"Saya menyasarkan untuk memecahkan rekod peribadi terbaik saya dalam Terbuka Thailand.

"Insya-Allah, saya mungkin dapat melakukannya dalam bulan Ramadan ini.

"Saya perlu kekal fokus walaupun ia berlangsung pada bulan puasa.

"Tanggungjawab dalam acara pecut ini agak sukar bagi saya.

"Jadi, saya hanya perlu melakukan yang terbaik," katanya

Kecederaan paha yang menimpa Khairul Hafiz menenggelamkan kejaguhan skuad pecut negara.

Malah, tugasan untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Filipina, November depan kini lebih sukar dengan kebangkitan pelari dari Indonesia, Lalu Mohamad Zohri.

Harapan terbaik Malaysia untuk meraih pingat emas di Thailand adalah menerusi jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei.

Jaguh negara itu menerima pembakar semangat apabila dijemput bersama jaguh lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, untuk menyertai Grand Prix Olahraga Asia di Qatar, bulan depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen