Penembak negara, Johnathan Wong, tiada masalah untuk mengungguli acara 10 meter air pistol lelaki dalam Kejohanan Terbuka Selangor 2017 dengan menewaskan pencabar terdekat, Eddy Chew.

Johnathan yang mewakili Perak berjaya membidik 240.8 mata untuk meninggalkan Eddy dari Johor di tempat kedua dengan perbezaan 2.4 mata manakala penembak Pahang, Abdul Hadi, meraih pingat gangsa.

Dia tidak menolak agak bergelut untuk mendapatkan kembali momentum apabila sudah lama tidak berdepan aksi final dalam kejohanan, apatah lagi selepas berakhirnya temasya KL2017, Ogos lalu.

"Prestasi hari ini agak bagus selepas berehat lama. Pertandingan kurang diadakan sehingga menjejaskan momentum kami. Tetapi, kutipan mata yang dilakar agak bagus," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu memasang azam besar untuk membuktikan prestasi dirinya di tahap terbaik memandangkan dia merupakan penembak tungggal negara dalam Program Podium.

Salah satunya adalah untuk mendapatkan pencapaian cemerlang dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

"Saya seorang sahaja wakil daripada pasukan menembak yang berjaya masuk Program Podium. Saya harap dapat tampil lebih bagus dalam kejohanan-kejohanan besar Sukan Komanwel dan Sukan Asia agar dapat membuktikan sesuatu dalam sukan menembak ini," katanya.

Sementara itu, bekas penembak kebangsaan, Siti Nur Masitah Mohd Badrin, puas apabila meraih emas acara 25m pistol wanita selepas bersara pada penghujung 2015.

Terlalu rindu untuk beraksi dalam kejohanan besar, dia berazam untuk terus membuktikan kemampuan agar dapat kembali menjalani program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) untuk sekurang-kurangnya beraksi dalam Sukan SEA 2019.

"Ketika mengandungkan anak pertama, saya direhatkan buat sementara waktu. Mungkin saya akan kembali bersama pasukan kebangsaan selepas melahirkan anak kedua ini," kata Nur Masitah.

Penembak negara, Muhammad Lutfi Othman, pula berjaya membalas dendam terhadap pesaing utama, Mohd Hadafi Jaafar, untuknya merangkul pingat emas bagi acara 50m rifle 3 posisi lelaki selepas meraih perak untuk acara 50m rifle prone, semalam.

Ini adalah kejayaan terbaiknya setakat ini sejak mengungguli acara itu sebanyak empat kali dalam lima kejohanan kebangsaan tahun ini.

"Tadi saya agak bergelut juga, namun Alhamdulillah saya dapat memperkemaskan semula rentak untuk menang.

"Ini pencapaian terbaik saya menerusi empat kejuaraan dalam lima kejohanan," kata Lutfi.