Terbuka Malaysia: Wee Wern, Syafiq teruskan kemaraan

Oleh Staff Writer 17 Julai 2018 1019
Terbuka Malaysia: Wee Wern, Syafiq teruskan kemaraan
Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, antara  yang melepasi halangan pertama dalam pusingan kelayakan selepas mencatat kemenangan ke atas wakil Republik Czech, Anne Serme, dalam  Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ini merupakan kejohanan jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) yang pertama buat Wee Wern selepas berehat selama 20 bulan akibat kecederaan lutut dan tidak banyak yang diketahuinya tentang lawan kerana aksi di Bukit Jalil merupakan pertemuan sulung buat kedua-dua pemain itu.

Set pertama menyaksikan Wee Wern bermula sedikit perlahan, namun masih mampu mencatat kemenangan 11-5 dan kebangkitan yang dijelmakan oleh Serme dalam set berikutnya nyata tidak menggugat pemain berusia 27 tahun itu apabila dia mula menemui rentak dan kepantasan yang lebih baik berbanding lawannya untuk menang 11-7.

Bekas pemain nombor lima dunia itu mengakhiri permainan dengan kemenangan 11-6 dalam set ketiga dan akan berdepan pemain Iran, Sarvenaz Komasi, bagi penentuan slot kelayakan ke pusingan pertama  esok.

"Saya tidak tahu apa yang boleh diharapkan, hanya memasuki gelanggang dan cuba memastikan aksi terbaik mampu dipamerkan, mendapatkan rentak yang baik," katanya.

Sementara itu, saingan lelaki menyaksikan Mohd Syafiq Kamal tidak berdepan kesukaran untuk mengetepikan cabaran rakan senegara, Muhammad Ezzri Nazri.

Syafiq, yang mengesahkan tempat dalam acara berpasukan dalam Sukan Asia Indonesia  bulan depan, hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk mencatat kemenangan 11-4, 11-6,  11-1.

Menantinya bagi penentuan slot kelayakan ke pusingan pertama ialah wakil dari Pakistan, Asim Khan.

"Saya tahu saya lebih baik berbanding dia, jadi saya mengambil kesempatan di atas kelebihan fizikal dan stamina yang saya miliki. Setakat ini, saya berpuas hati dengan persembahan saya," ujar Syafiq.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen