Dua pemain wanita negara, Low Wee Wern dan S. Sivasangari, menempah slot separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2018, sebentar tadi.

Wee Wern turun beraksi terlebih dahulu berdepan pilihan kedua kejohanan, Liu Tsz Ling, yang merampas set pertama 12-10.

Enggan berputih mata, Wee Wern mencorak kebangkitan dalam tiga set berikutnya 11-6, 11-6 sebelum menoktahkan kemenangan set keempat 11-2.

"Ia merupakan perlawanan yang sengit. Tewas dalam set pertama, ia menggugat rentak permainan sebelum saya memastikan kemenangan dan mara ke separuh akhir," kata Wee Wern.

Lee Ka Yi cuba menidakkan juara bertahan, Sivasangari, di Pusat Skuasy National, Bukit Jalil dengan memberikan tentangan sengit dalam set pertama.

Tetapi kualiti memihak Sivasangari yang tidak berdepan sebarang masalah untuk mengawal rentak dalam gelanggang.

Akhirnya Sivasangari mencatatkan kemenangan, 11-6, 11-5, 11-6.

"Saya telah meletakkan mentaliti yang positif untuk perlawanan ini dan berjaya merakamkan kemenangan ini," kata Sivasangari.