Bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, dan juara kebangsaan yang baru, S. Sivasangari, akan berdepan sesama sendiri dalam separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2018 selepas mereka menumpaskan lawan masing-masing hari ini.

Dalam aksi suku akhir kategori wanita yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Wee Wern, bagaimanapun, terpaksa berhempas-pulas sebelum menumpaskan pemain Hong Kong, Liu Tsz-Ling, 10-12, 11-6, 11-6, 11-2 dalam masa 39 minit.

“Saya bermula agak perlahan dan berjaya mendahului, namun tidak bernasib baik apabila kalah dalam set pertama.

"Dalam set kedua, saya berasa lebih selesa dan mampu mengawal situasi dan mencatat kemenangan penting dalam set ketiga dan keempat untuk menamatkan perlawanan.

“Perlawanan separuh akhir esok sesuatu yang menarik kerana sekali lagi akan berdepan Sivasangari, dan ia satu pencapaian dapat beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan PSA (Persatuan Skuasy Profesional) selepas berehat lama akibat kecederaan lutut,” kata Wee Wern kepada pemberita selepas perlawanan.

Pilihan ketiga, Sivasangari, pula mara ke separuh akhir selepas mengatasi seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Ka Yi, 11-6, 11-5, 11-6 dalam masa 25 minit.

Kedudukan selaku juara bertahan bukan satu jaminan bagi Sivasangari untuk mendapat laluan mudah dalam aksi separuh akhir kerana dia sedar tahap kejohanan itu sudah meningkat kali ini.

“Berdepan Wee Wern sesuatu yang sukar kerana dia bermain daripada pusingan kelayakan dan beraksi dengan baik sehingga mara ke separuh akhir. Saya pasti dia akan lebih bersungguh-sungguh esok.

“Walaupun dia tewas kepada saya awal bulan ini dalam Kejohanan Kebangsaan, kali ini berbeza. Saya bersedia dari segi mental dan akan beraksi seperti biasa,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir adalah di antara pilihan pertama dari Mesir, Omneya Abdel Kawy, dan pilihan keempat dari Jepun, Satomi Watanabe.

Sementara itu dalam kategori lelaki, cabaran pemain nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Adnan, berakhir apabila tumpas kepada pilihan utama, Leo Au dari Hong Kong, 3-11, 10-12, 11-4, 8-11 dalam masa satu jam.

Pilihan kelapan, Ng Eain Yow, turut gagal melakukan kejutan untuk mara ke separuh akhir apabila kalah kepada pilihan keempat, Lucas Serme dari Perancis, 4-11, 7-11, 11-8, 10-12.

Leo akan bertemu Abdulla Mohd Al Tamimi dari Qatar yang menewaskan Joel Makin dari Wales, 11-3, 5-11, 11-9, 4-11, 11-3, manakala Lucas akan menentang pemenang di antara pilihan kedua, Tsz Fung Yip dari Hong Kong dan pemain India, Mahesh Mangoakar, dalam separuh akhir esok.

-- BERNAMA