Dua wakil tumpuan Malaysia, Syafiq Kamal dan Low Wee Wern, melalui jalan berbeza untuk layak ke pusingan utama Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, dengan seorang berhempas-pulas sambil seorang lagi tidak menghadapi tentangan sukar.

Menentang wakil Pakistan, Asim Khan, Syafiq tidak diberi laluan mudah apabila tewas set pertama 11-8.

Syafiq, bagaimanapun, berupaya untuk mencipta kebangkitan dalam tiga set berikutnya sebelum menang dengan keputusan 11-7, 11-7 , 11-6.

"Saya telah bertemu dengan Asim dalam beberapa kejohanan sebelum ini dan mahu memastikan layak ke pusingan utama," kata Syafiq.

"Jurulatih meminta saya supaya lebih tenang ketika beraksi dan ia membantu saya meraih kemenangan."

Wee Wern pula meneruskan kemaraan ke pusingan utama tanpa mengerah keringat mengetepikan wakil Iran, Sarvenaz Komasi.

Kualiti Wee Wern tiada tandingan apabila dia merekodkan kemenangan straight sets 11-4, 11-4, 11-0.

"Saya pernah menghadapi perlawanan kelayakan yang lebih sukar sebelum ini, saya mengucapkan tahniah kepada wakil Iran itu yang berjaya mendapatkan slot untuk perlawanan ini. Bagi saya, ia merupakan latihan yang baik bagi menghadapi aksi-aksi akan datang," kata Wee Wern.