Pelari pecut, S. Komalam Shally, bangkit daripada kes digugurkan daripada skuad negara pada saat-saat akhir ketika Sukan SEA 2017 dengan aksi terbaik dalam Kejohanan Terbuka Malaysia selepas meraih emas acara 4x100m wanita, semalam.

Komalam ternyata tidak dapat melupakan peristiwa pahit apabila digugur pada saat-saat akhir daripada Sukan SEA tatkala segala persiapan sudah dilakukan.

Selepas mengambil keputusan membawa haluan sendiri berlatih tanpa jurulatih bersama sama rakan sepasukan, Siti Fatimah Mohamad, Komalam membuktikan aksi dalam Terbuka Malaysia dengan tidak ketinggalan meraih pingat dalam tiga acara yang disertai, iaitu 100m, 200m dan 4x100m.

Paling memberi makna adalah emas acara 4x100m kerana dia mahu beraksi dalam acara itu dalam Sukan SEA.

"Selepas terlalu lama, saya begitu bersemangat untuk sertai acara 4x100m dalam Sukan SEA. Saya menyasarkan pingat emas Sukan SEA tahun lalu tetapi amat mengecewakan apabila saya digugurkan," kata Komalam.

"Banyak tekanan dihadapi kerana sebagai atlet dan muka lama, keputusan itu bukan sesuatu yang baik buat saya kerana kami sepasukan telah berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan. Jika kami raih keputusan baik dalam Sukan SEA, saya berpendapat catatan kelayakan tersebut mampu dibawa ke peringkat Sukan Asia."

Fatimah pula kini hanya fokus kepada latihan berterusan bersama Komalam sambil menyifatkan agak janggal berlatih tanpa jurulatih.

Namun, itu tidak menjadi penghalang untuk mereka terus berusaha dengan misi utama adalah layak ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

"Kami berlatih tanpa jurulatih, kami perlu bekerja keras bagi memastikan layak ke Sukan Asia," kata Fatimah.