Andy Murray bakal membuat penampilan dalam saingan Terbuka Eropah, Oktober depan ketika dia dalam proses kembali bersaing dalam acara perseorangan.

Bekas pemain nombor satu dunia, Murray, telah beransur-ansur meningkatkan penglibatannya dalam Jelajah ATP sejak menjalani pembedahan pinggul awal tahun ini.

Pemain berusia 32 tahun itu mula kembali ke gelanggang dalam saingan beregu sebelum kembali dalam acara perseorangan di Masters Cincinnati awal bulan lalu, namun tewas 6-4, 6-4 kepada Richard Gasquet dalam pusingan pertama.

Tewas kepada Tennys Sandgren dalam pusingan pertama Terbuka Winston-Salem Isnin lalu, Murray bercadang untuk turun ke peringkat Pencabar untuk mendapatkan semula rentaknya.Murray telah mengesahkan bakal kembali untuk acara ATP bulan depan di Zhuhai dan Beijing bulan depan serta dijadualkan membuat satu lagi penampilan di Antwerp pada bulan Oktober sementara pemain itu turut disahkan akan mengambil bahagian dalam Terbuka Eropah semalam.

"Dengan Andy Murray berada dalam poster kejohanan, kami sudah mencapai kelas dunia dan membawa Terbuka Eropah ke peringkat yang lebih tinggi di Belgium," kata pengarah kejohanan, Dick Norman.

Murray turut berkata melalui Facebook, "Teruja untuk turun beraksi di Antwerp Oktober ini dalam Terbuka Eropah, saya berharap dapat menemui anda di sana!"