Terbuka El Gouna: Nicol mara ke pusingan kedua

Oleh Bernama 20 April 2018 778
Terbuka El Gouna: Nicol mara ke pusingan kedua
Pemain skuasy terkemuka wanita negara, Datuk Nicol David, melepasi halangan pertamanya dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2018 yang berlangsung di Kompleks Skuasy El Gouna di Mesir, hari ini.

Pemain pilihan kelapan itu menewaskan Zeina Mickawy dari Mesir 12-10, 11-2, 9-11, 11-2 dalam pertarungan selama 32 minit itu.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan 3-1 dan berjaya mengawal rentak permainan, termasuk aspek kepantasan.

"Bagaimanapun, kesemuanya berkisar kepada bermain dengan konsisten dan secara sistematik berada dalam posisi yang memudahkan saya sedia untuk bertindak,” kata pemain berasal dari Pulau Pinang itu dalam laman sesawang rasmi kejohanan, www.elgounasquashopen.com.

Nicol, pemain di ranking kesembilan dunia, akan bertemu pemain India, Joshna Chinappa, dalam pusingan kedua Ahad ini.

Joshna menewaskan Rowan Elaraby dari Mesir 8-11, 11-8, 14-12, 11-4 dalam perlawanan selama 39 minit dalam pusingan pertama hari ini.

Sementara itu rakan senegara, S. Sivasangari, akan bertemu pemain pilihan kedua dari Mesir, Raneem El Welily, dalam perlawanan pusingan pertama esok.

Mohd Nafiizwan Adnan, yang merupakan wakil tunggal Malaysia dalam kategori lelaki, akan berhadapan pilihan utama, Mohamed El Shorbagy dari Mesir, pada jam 1.15 pagi Sabtu waktu Malaysia, dalam  perlawanan pusingan pertama. -- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen