Pesilat negara, Mohd Fauzi Khalid, bertekad untuk tidak berputus asa daripada terus menempah nama di persada dunia walaupun dia tidak akan menyertai Sukan SEA Filipina 2019.

Fauzi, yang merupakan penyumbang pingat emas kategori Putra F dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu, jelas kecewa apabila kategorinya itu tidak dipertandingkan di Filipina, November depan.

Bagaimanapun, bekas juara dunia 2010 itu belum mahu menyerah kalah, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada Terbuka Belgium serta Terbuka Bangladesh pada April dan Julai nanti.

Fauzi menganggap penyertaannya itu sebagai langkah persiapan untuk ke Kejohanan Pencak Silat Dunia di Brunei tahun depan.

"Fokus saya mahu memperbaiki kekurangan ketika Sukan Asia, terutama dalam aspek fizikal dan taktikal. Dalam Kejohanan Dunia, saya mahu mendapatkan semula pencapaian sebelum ini," katanya.

Dalam masa sama, atlet berusia 32 tahun itu memiliki perancangan sendiri untuk menjadi jurulatih kepada pesilat muda tetapi dia menyerahkan masa depannya itu kepada Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

"Saya serahkan perkara itu kepada persatuan. Jika mereka cakap saya berhenti dan mula membantu pasukan, saya ikut sahaja. Setakat ini, saya tidak berani untuk kata apa-apa. Semuanya bergantung kepada persatuan."