Rafael Nadal menolak telatah Nick Kyrgios selepas pemain Australia itu meniru gaya servisnya dalam saingan Terbuka Australia.

Selepas dihukum kerana melewatkan permainan ketika mengambil servis dalam aksi pusingan kedua berdepan pemain Perancis, Gilles Simon, Kyrgios mula meniru gaya Nadal sebelum melakukan servis.

Perlakuannya itu kelihatan cuba menjelaskan pemain nombor satu dunia, Nadal, sentiasa diberikan layanan yang baik oleh pengadil perlawanan apabila diberikan masa secukupnya sebelum melakukan servis.

Membetulkan rambut dan menarik seluarnya, Kyrgios cuba meniru gaya Nadal dan berjaya membuatkan seluruh penonton, termasuk pengadil perlawanan yang memberikan denda kepadanya, tersenyum.

Ia berlaku pada penghujung set kedua manakala Simon pula melakukan perkara yang sama dalam set ketiga, yang membuat Kyrgios turut terhibur.

Nadal mungkin melihatnya daripada pandangan yang berbeza, dan ia juga memperkuatkan lagi semangatnya untuk menyingkirkan Kyrgios daripada kejohanan ketika bertemu dalam pusingan keempat.

Mereka hanya memerlukan satu lagi perlawanan sebelum bertentang mata, dan ditanya mengenai perlakuan Kyrgios itu, Nadal berkata, "Saya tidak kisah sebenarnya. Saya datang ke sini untuk bermain tenis. Ia kelakar tetapi setakat itu sahaja."

Kyrgios pula ditanya sama ada dapat menjelaskan perkara itu kepada pengadil perlawanan.

"Saya faham apa yang anda cuba sampaikan," katanya.

"Ia sebahagian daripada pergerakan saya. Jadi, saya memulakan servis dengan beberapa langkah. Ia bukan aktiviti tambahan yang dilakukan dan ia tidak bermaksud untuk membuang masa. Perkara sebegini sering berlaku. Ia terpulang kepada pengadil untuk menilainya."

Pemain pilihan ke-23 itu mengetahui perlu kekal tenang di Melbourne selepas dia digantung 16 minggu September lalu di atas kelakuannya di gelanggang tetapi dia berasakan perkara itu tidak terlintas dalam fikirannya.

"Terdapat beberapa kali saya bertindak balas kepada pengadil sehingga digantung pada tahun lalu. Ia bukanlah sesuatu yang dilakukan dalam setiap perlawanan," katanya. "Tidak, saya tidak memikirkan perkara itu langsung."




Editor: Ammar Hakim