Dua kejutan berlaku dalam saingan Terbuka Australia hari ini apabila Novak Djokovic dan Dominic Thiem gagal mara ke pusingan suku akhir.

Kecederaan ternyata menjadi penghalang juara enam kali, Djokovic, selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Hyeon Chung, dalam straight set manakala Tennys Sandgren turut berjaya mengatasi pemain berpengalaman, Thiem, dalam pertembungan lima set.

Juara bertahan, Roger Federer, pula meneruskan prestasi cemerlang apabila berjaya mengatasi Marton Fucsovics.

Kemenangan tersebut menyaksikan pemain veteran itu akan berdepan Tomas Berdych, yang layak ke suku akhir selepas menundukkan Fabio Fognini.

Chung tewaskan idolanya

Cabaran Djokovic terhenti di tangan bintang muda dari Korea, Chung, yang menewaskan idolanya itu 7-6 (7-4), 7-5, 7-6 (7-3).

Masalah pinggul menjejaskan persembahan bekas pemain nombor satu dunia itu dalam pusingan ketiga, kemudian kecederaan siku kanan turut menghimpitnya bagi meleburkan harapan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.

Wakil Serbia itu mengharungi perlawanan yang sukar ketika berdepan Chung, pemain muda berbakat yang menghukumnya dalam setiap kesilapan yang dilakukan.

Perlawanan tersebut hanya bertahan selama tiga set tetapi ia berjaya memberikan keterujaan kepada penonton yang hadir di Melbourne.

Lahirnya bintang baru dalam sukan tenis

Jika kekalahan Djokovic berpunca daripada masalah kecederaannya, ia bukan alasan buat Thiem yang dikejutkan oleh Sandgren.

Pemain ke-97 dunia itu mencipta kemenangan 6-2, 4-6, 7-6 (7-4), 6-7 (7-9), 6-3 untuk menjadi pemain pertama sejak Nicolas Escude pada 1998 mara ke pusingan suku akhir dalam penampilan sulung Terbuka Australia.

Sandgren selepas perlawanan menyifatkan dirinya bagaikan bermimpi tetapi kini harus membuat persiapan untuk aksi suku akhir berdepan Chung.

Roger terus dalam landasan pertahan kejuaraan

Pemain pilihan kedua kejohanan, Federer, meneruskan persembahan cemerlang di Melbourne. Pemenang lima kali itu mara ke suku akhir tanpa keciciran sebarang set.

Fucsovics merupakan mangsa terbaru jaguh Switzerland itu apabila tewas 6-4, 7-6 (7-3), 6-2. Federer mempamerkan aksi cemerlang dengan mengutip mata menerusi pukulan-pukulan berkualiti.

"Saya telah lama tidak bertemu dengan Fucsovics. Saya telah lupa gaya permainannya," kata Federer.

"Sasaran saya adalah memberikan keutamaan kepada permainan saya dan cuba memberikan tekanan kepada lawan," katanya lagi.

...dan bertemu Berdych, sekali lagi

Jika Federer mengharungi undian yang mudah, Berdych bakal menjadi ujian terbesarnya setakat ini selepas wakil daripada Republik Czech itu meraih kemenangan 6-1, 6-4, 6-4 ke atas Fognini.

Tetapi juara bertahan itu sentiasa menantikan saat berdepan Berdych, pemain yang ditewaskannya pada pusingan ketiga kejohanan ini tahun lalu.

"Saya tidak sabar untuk berdepan dengannya," tambah Federer.

Berdych pula berkata, "Saya akan turun mempamerkan persembahan terbaik dan percaya dengan kebolehan diri saya bahawa saya mampu melakukannya."