Sebanyak 17 negara mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Tenis Remaja Asia B-14 yang akan berlangsung di Arena Tenis Perak, Ipoh dari 28 Oktober hingga 3 November ini.

Antara negara terbabit adalah Hong Kong, China, Filipina, Iran, Kazakhstan, England, India, Australia, Indonesia dan Jepun.

Kejohanan yang julung kalinya dianjurkan di Ipoh itu akan disertai oleh pemain Perak, Adam Aqil Anuar dan Yip Wanli, yang pernah mewakili negara ke Kazakhstan dan Filipina.

"Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP ) sekali lagi telah membawa masuk kejohanan bertaraf antarabangsa ke Ipoh selepas Kejohanan Remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), April lalu," kata Naib Presiden PLTP, Fazwil Abdul Wahid.

Menurutnya, kedua-dua kejohanan itu akan menjadi acara tahunan yang bakal mewarnai arena tenis negeri dan negara.

Katanya, penganjuran kejohanan itu sejajar dengan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, untuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya sukan.

Fazwil berkata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, sentiasa mendorong dan menghulur segala jenis bantuan dan sokongan kepada semua persatuan sukan negeri untuk mengorak langkah ke arah penganjuran aktiviti sukan bertaraf antarabangsa dengan penglibatan atlet negeri secara maksimum.