Kejayaan gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee meraih pingat perak dalam Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea Selatan, semalam bukan jaminan untuk mereka terpilih mengisi slot acara terjun 10 meter platform seirama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana ia akan ditentukan oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

ASUM merancang untuk membantu pasangan Cheong Jun Hoong-Kimberly Bong melayakkan diri ke Tokyo menerusi dua lagi kejohanan kelayakan.

Ia bagi meningkatkan persaingan dalam kalangan penerjun negara bagi merebut dua slot berkenaan.

Ini bermakna Pandelela-Mun Yee perlu meningkatkan kualiti terjunan bagi meyakinkan barisan kejurulatihan dan pegawai ASUM.

"Kami akan meletakkan dua (penerjun) terbaik.

"Setiap penerjun perlu tahu apa yang mereka mahukan.

"Mereka perlu tahu persediaan mereka dan tidak membenarkan perkara-perkara ini mengganggu pemikiran mereka.

"Mereka perlu meletakkan Tokyo sebagai satu pertandingan dan penerjun terbaik akan menang," kata Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen,

Terdapat dua lagi kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik, iaitu Kejohanan Piala Asia di Kuala Lumpur, September depan dan Piala Dunia di Tokyo, Jepun, April tahun depan.

Sementara itu, Mun Yee mahu mencipta rekod sebagai atlet paling banyak mewakili negara dalam Sukan Olimpik.

Setakat ini, dia sudah menyertai empat edisi temasya sukan terbesar dunia itu -- berkongsi pencapaian sama dengan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dan pelayar, Dr. Kevin Lim.

"Saya rasa saya akan fokus kepada acara inilah sebab saya menyertai acara ini dan acara berpasukan.

"Acara berpasukan tiada dalam Sukan Olimpik.

"Saya tidak menyertai acara seirama campuran kerana mahu menumpukan kepada acara ini," katanya.