Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, mendedahkan penubuhan pasukannya, Team Azizul, akan membantu perkembangan sukan negara, namun dia memerlukan penajaan yang besar bagi merealisasikan aspirasi itu.

Selain membantunya untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Azizulhasni menjelaskan penubuhan pasukan itu mampu menjadi platform buat pelumba muda negara untuk memperkembangkan bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Buat masa ini, saya masih menamakan pasukan ini sebagai Team Azizul kerana saya masih belum mendapatkan mana-mana penaja utama.

"Jika ada pihak yang berminat untuk menjadi penaja utama, nama itu akan berubah.

"Objektif utama penubuhan Team Azizul adalah untuk saya bertanding pada musim depan dan ia akan membantu kelayakan saya ke Sukan Olimpik.

"Selain itu, saya memerlukan memerlukan tiga pelumba lain, jadi ia kelihatan sempurna kerana saya dapat membantu perkembangan sukan negara," katanya dalam temu bual Nadi@1, sebentar tadi.

Selain Azizulhasni, Team Azizul turut dibarisi tiga pelumba muda, Amar Danial Masri, Fariz Haikal Mohd Kadir dan Ridwan Sahrom.

Azizulhasni turut mendedahkan pasukan itu mungkin akan menarik lebih ramai bakat muda negara untuk diketengahkan andai mereka memiliki penaja dan kewangan yang lebih kukuh.

"Saya akan memilih pelumba muda yang berbakat untuk diserapkan ke dalam Team Azizul supaya mereka dapat diberikan peluang untuk pergi lebih jauh dalam arena sukan berbasikal.

"Bukan tugas mudah untuk kami memilih ketiga-tiga pelumba muda ini kerana negara kita mempunyai ramai pelumba muda berbakat.

"Mereka yang terpilih itu merupakan yang terbaik di antara yang terbaik.

"Mereka amat komited, berdisiplin dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

"Mereka tahu impian mereka dalam sukan ini dan ia menyebabkan saya memilih mereka.

"Pasukan ini akan menjadi lebih besar pada masa depan andai kami memiliki dana dan pihak penaja yang mencukupi.

"Saya mempunyai impian untuk memiliki pelumba acara pecut dan pelumba jarak jauh lelaki dan wanita.

"Malaysia mempunyai ramai pelumba yang amat berbakat di sebalik fizikal yang kecil dan mereka memerlukan platform untuk membuktikan bakat yang mereka ada.

"Jika ada pihak di luar sana yang berminat untuk menjadi penaja, saya mengucapkan terima kasih dan amat menghargai bantuan itu," katanya.