TdiJ: Vogt juara individu keseluruhan

Oleh Bernama 19 April 2019 564
TdiJ: Vogt juara individu keseluruhan
Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Mario Vogt, merangkul gelaran juara individu keseluruhan dalam perlumbaan berbasikal Tour de Iskandar Johor (TdIJ) 2019 yang berakhir hari ini.

Saingan edisi pertama TdIJ itu juga menyaksikan Vogt mencatat masa keseluruhan 8 jam 35 minit dan 46 saat, sekali gus mengekalkan jersi biru yang dimenanginya dalam peringkat kedua semalam.

Lebih manis, pasukan profesional negara itu turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pasukan setelah muncul naib juara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, baru-baru ini.

Vogt berkata kejayaan menjulang kejuaraan itu sangat bermakna buat dirinya.

"Saingan yang mencabar, terutama kerana hujan lebat ketika perlumbaan hari ini," kata pelumba kelahiran Jerman itu. 

"Sudah sekian lama sejak kali terakhir saya memenangi jersi biru pada 2008 dan saya gembira kerana berjaya meraih kejuaraan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup saingan TdIJ 2019 di Kompleks Yayasan Warisan, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu dalam saingan peringkat ketiga dan terakhir hari ini, Vogt tiba di garisan penamat dalam kelompok pelumba yang dimenangi Wang Jaunyong daripada Hengxiang Cycling dengan masa 2'14:48s.

Perlumbaan terakhir sejauh 107.7 kilometer dari Kluang ke Johor Bahru itu turut menyaksikan pemenang jersi putih sebagai raja pecut kekal milik pelumba XSpeed United, Ryan Roth; jersi merah (raja bukit) dimenangi Mathew Zenovich daripada St  George Cycling; manakala jersi hitam selaku pelumba muda terbaik kekal milik Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri (TSC).

Pengurus TSC, Fairoz Izni Abdul Ghani, yang berbangga dengan kejayaan pasukannya itu merancang untuk menyertai lebih banyak perlumbaan bagi mengumpul mata untuk membolehkan mereka muncul antara tiga pasukan terbaik Asia.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen