Pelumba negara, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri, menceriakan rakyat Malaysia apabila menjadi pelumba tunggal negara yang memenangi jersi perlumbaan dalam peringkat kedua Tour de Iskandar Johor 2019 (TdIJ), hari ini.

Shaiful Adlan, 21, berkata dia tidak menyangka mampu menyarung jersi hitam setelah muncul pelumba muda terbaik dalam perlumbaan sejauh 172.4 kilometer (km) dari Dataran Tanjung Emas, Muar ke Yong Peng itu dengan catatan masa terkumpul 6 jam 20 minit 18 saat.

Dia yang merupakan pelumba pasukan Team Sapura Cycling (TSC) menjadi pelumba kedua terbaik dalam peringkat pertama dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Dataran Penggaram, Batu Pahat, semalam dengan catatan masa 2 jam 35 minit 22 saat.

"Kejayaan semalam telah membakar semangat saya untuk lebih berjaya dalam peringkat kali ini (kedua) dan Alhamdulillah berjaya. Saya akan cuba mengulangi kejayaan ini dalam peringkat terakhir esok,” katanya dalam sidang media selepas perlumbaan berkenaan.

Sementara itu, jersi merah untuk kategori ‘raja bukit’ dimenangi oleh Dominic Perez daripada pasukan 7Eleven Cliqq-Air21 Roadbike Philippines (7RP) dengan mengutip empat mata.

Jersi putih gelaran ‘raja pecut’ pula milik Ryan Roth yang mewakili XSpeed United Continental (XSU) dengan jumlah 25 mata terkumpul manakala jersi biru bagi juara keseluruhan menjadi kepunyaan Mario Vogt daripada pasukan TSC.

Bagi peringkat kedua ini, pelumba TSC, Cristian Raileanu, meraih tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 43 minit dan 33 saat, disusuli Zhang Zheng daripada pasukan Hengxiang Cycling Team (HEN) dengan catatan masa 3'43:37s manakala ketiga milik Perez dari 7RP.

Dalam pada itu, perlumbaan peringkat ketiga selaku peringkat terakhir TdIJ 2019 yang membabitkan 108 pelumba daripada 22 pasukan itu akan mengharungi jarak 107.7km, bermula dari Dataran Tasik, Kluang ke Kompleks Warisan, Sungai Chat, Johor Bahru.

-- BERNAMA