Pemenang jersi kuning Le Tour De Langkawi (LTdL) 2019, Benjamin Dyball, daripada Team Sapura Cycling (TSC) mahu memberikan yang terbaik dalam saingan Tour De Iskandar Johor (TDIJ) yang bermula esok.

Dia dan pasukannya dalam keadaan terbaik dan berharap mereka dapat merebut jersi biru untuk juara keseluruhan dalam perlumbaan tersebut.

"Setiap kali menyertai perlumbaan, saya mahu menang tetapi saya perlu memberi bantuan kepada pasukan.

"Saya akan gembira asalkan dapat jersi biru dan memenangi perlumbaan itu kerana terdapat beberapa pasukan kuat dalam kejohanan ini yang akan memberi saingan," katanya.

Dalam pada itu, pelumba pasukan kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, memberitahu pasukannya mengetengahkan pelumba muda berusia bermula 19 tahun dalam kejohanan tersebut.

"Jadi, pelumba muda ini diharap dapat menimba pengalaman berguna dalam bersaing dengan pelumba kontinental lain," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan tuan rumah. JDT Cycling Team, Laili Yusof, berkata pihaknya menampilkan pelumba berpengalaman yang sebelum ini pernah menyertai pasukan benua atau kelab di negara ini.

"Kali ini kami tidak meletakkan sebarang sasaran kerana baru mengumpul pelumba dan berlatih sejak dua bulan lalu," katanya.

Namun, pasukan JDT akan memberi saingan kepada pasukan lain dan merancang untuk membentuk pasukan lebih baik selepas melihat prestasi dalam penyertaan TDIJ nanti.