Perlumbaan berbasikal Tour De Iskandar Johor (TDIJ) bakal mengegarkan selatan tanah air apabila mendapat penyertaan termasuk daripada kelab lumba basikal terkemuka dalam saingan tiga peringkat, bermula esok hingga Jumaat.

Kejohanan anjuran Sovereign International Venture Sdn. Bhd. dan kerajaan negeri Johor itu melibatkan penyertaan lebih 80 pelumba daripada 23 pasukan benua, pasukan kebangsaan, negeri dan kelab di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TDIJ, Jaafar Hashim, berkata kejohanan tersebut yang pertama kali dianjurkan di negeri ini, bertaraf antarabangsa dan mendapat kategori 2.2 di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"TDIJ turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan.

"Kami bersyukur kejohanan ini dapat diteruskan walaupun dengan sumber dana yang terhad, menunjukan komitmen kerajaan negeri dan kami serta pasukan terlibat dalam misi pembangunan sukan berbasikal negara," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Trove, hari ini.

Menurut Jaafar, TDIJ meliputi jarak perlumbaan sejauh 403 kilometar melibatkan tiga peringkat, bermula dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat, Muar ke Yong Peng dan Kluang ke Johor Bahru.

"Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal, bakal melakukan 'play-off' perlumbaan di Dataran Mahkota Iskandar Puteri, esok," katanya.

Antara pasukan yang menyertai TDIJ ialah pasukan benua seperti Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) dari Malaysia, St. George Continental Cycling Team dari Australia dan Kinan Cycling Team dari Jepun.

"Selain itu, TDIJ turut mendapat penyertaan daripada pasukan negeri dan kelab seperti JDT Cycling Team, Selangor Cycling Team, termasuk pasukan kebangsaan dan negara Sri Lanka, " katanya.

Katanya, laluan perlumbaan melibatkan laluan landai dan tidak banyak berbukit yang akan menyaksikan saingan sengit barisan pelumba dan jagoan pecut.

"Sehubungan itu, kami mengharapkan penduduk di negeri ini keluar menyaksikan perlumbaan tersebut di kawasan yang dilalui para pelumba berkenaan," ujarnya.