Usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, menyelesaikan kemelut di antara tekong negara dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menuju kegagalan selepas badan induk itu melupakan khidmat Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak dalam empat kejohanan antarabangsa.

Sama ada Syed Saddiq cuba bersikap positif atau tidak mendapat gambaran sebenar, itu realiti membabitkan isu Syahir, Zulkifli dan PSM yang belum menunjukkan tanda akan berdamai dalam masa terdekat.

PSM tidak menggunakan khidmat mereka sejak kejohanan Terbuka Asia dan terbaru di Thailand menerusi Piala Datuk Bandar, Piala Raja Thai serta Sukan SEA Filipina.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tetap yakin isu itu akan selesai.

"Pintu rundingan masih terbuka. Kedua-dua atlet akan dipanggil untuk memberikan maklum balas dalam Jawatankuasa Tatatertib. Saya berharap atlet-atlet terbaik dapat diturunkan untuk bersaing dalam Sukan SEA untuk mengharumkan nama negara tercinta," katanya.

PSM belum menetapkan tarikh untuk Syahir dan Zulkifli menghadap Jawatankuasa Tatatertib atas dakwaan masalah disiplin.

Buat masa ini, tarikh paling sesuai ialah bulan depan, iaitu selepas tamat Piala Raja Thai.

Ironinya, kedua-dua tekong yang membantu regu negara meraih pingat emas Sukan Asia 2018 itu juga sudah kembali melaporkan diri dengan majikan pekerjaan mereka.

"Jangan kerana pertelingkahan ini menjadi faktor prestasi skuad takraw negara menjunam. Sebab itu kami berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terhadap hal ini."

Sementara itu, Zulkifli akur tidak lagi akan menyarung jersi kebangsaan dan kekal dengan pendirian untuk bersara.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, semalam menjelaskan peluang dua bekas tekong negara itu sudah tertutup rapat untuk kembali menyertai skuad negara, khususnya menghadapi Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini ketika sidang media pasukan Penang Black Panthers di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, keutamaan kini adalah membersihkan semula nama dengan menjawab segala pertuduhan kepada Jawatankuasa Tatatertib PSM.

"Sukar untuk mengatakan apa-apa. Kita tunggu sehingga Jawatankuasa Tindakan Tatatertib PSM nanti. Kami telah memberitahu untuk keluar daripada skuad negara secara baik sebenarnya," kata Zulkifli.