Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan tiga atlet menembak yang terbabit dengan isu saman membabitkan Institut Sukan Negara (ISN).

Tiga penembak terbabit ialah Muslifah Zulkfili, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Mohamed Taibi yang sebelum ini kecewa dengan tindakan ISN menggugurkan mereka daripada Program Podium.

Tindakan saman telahpun diambil pada Oktober tahun lalu, namun ia ditolak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lantas, mereka kini akan membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selain cuba mendapatkan perhatian Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Syed Saddiq, beliau bersedia berjumpa ketiga-tiga atlet berkenaan bagi melihat sama ada satu jalan penyelesaian mampu dicapai.

"Berkenaan atlet menembak mengenai isu saman ini, kami akan cuba mencari jalan penyelesaian," katanya selepas membuat kunjungan ke sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan pihaknya juga sedang meneliti beberapa program di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan mengakui berasa kecewa dengan hasil audit yang telah dilakukan.

"Ada beberapa perkara yang mengecewakan akan saya maklumkan dalam masa terdekat serta memastikan program-program yang efektif sebelum ini akan diteruskan," ujarnya.