Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahu mengadakan perjumpaan dengan barisan atlet dan semua persatuan sukan kebangsaan terlebih dahulu sebelum menetapkan sebarang sasaran kepada kontinjen negara yang akan bersaing dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Syed Saddiq bakal menerima tugasan besar yang pertama selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru, semalam.

Antaranya, Ahli Parlimen Muar berusia 26 tahun itu juga tampak perlu memastikan kejayaan kontinjen negara dalam Sukan Asia 2018.

Namun, tatkala temasya bakal berlangsung kurang daripada dua bulan lagi, masih belum ada sebarang sasaran ditetapkan buat kontinjen negara.

"Berkenaan sasaran Malaysia, kami akan maklumkan kepada media dalam masa terdekat. Kami harus berjumpa dengan barisan atlet serta persatuan sukan bagi mendapatkan sasaran yang realistik," katanya.

Syed Saddiq akan mengadakan perjumpaan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai misi kontinjen negara dalam temasya itu nanti.

"Dalam masa sama, selain mencapai sasaran, kebajikan atlet juga harus dijaga. Ia sangat penting. Kami mahu mengelakkan tekanan melampau sehingga menjejaskan keadaan mereka," tambahnya.

Sementara itu, MOM menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, mengambil pendekatan berlapang dada dalam sebarang perincian yang bakal diambil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas ini.

Usaha seperti Program Podium ketika ini dilihat berdepan kritikan di atas kegagalan membantu Malaysia dalam mencapai sasaran kontinjen kebangsaan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Selain itu, hasil di Sukan Asia Indonesia 2018 juga mampu memainkan peranan dalam menentukan dasar sukan negara di bawah kepimpinan Syed Saddiq dan kerajaan baru.

"Saya rasa program-program ini adalah usaha yang sangat baik. Daripada segi motif serta cara diselaraskan, ia memerlukan sedikit perubahan.

"Kami sedar saingan di Indonesia melibatkan kontinjen yang besar kerana dibarisi atlet daripada kategori A dan B, jadi apa yang penting adalah moral serta semangat perlu ditingkatkan. Saya yakin, kehadiran Syed Saddiq mampu mencetuskan satu semangat baru," ujar Norza lagi.