Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menganggap isu doping membabitkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Perak sebagai sesuatu yang mengecewakan, apatah lagi ia melibatkan atlet yang masih muda.

Arena sukan negara sekali lagi dipalit dengan isu doping selepas dua atlet angkat berat didapati positif menggunakan methylhexaneamine dalam Sukma Perak, bulan lalu.

Selain itu, 17 lagi sampel perlu menjalani ujian susulan di New Delhi, India kerana diragui mempunyai unsur yang mencurigakan.

Jumlah itu membabitkan 10 peratus daripada sampel keseluruhan atlet yang mengambil bahagian dalam Sukma.

"Kami telah memberikan banyak peluang kepada sukan angkat berat apabila dikeluarkan daripada sukan teras tetapi masih lagi membenarkan mereka untuk bersaing dalam Sukma tetapi apa yang telah berlaku adalah sesuatu yang mengecewakan," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, di Bangi, hari ini.

Sementara itu, satu mesyuarat khas akan diadakan di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN serta Institut Sukan Negara (ISN ) pada Rabu bagi membincangkan hala tuju program elit, Program Podium.

Ia susulan daripada sesi "post-mortem" yang dilakukan terhadap program itu berikutan kegagalan dalam dua temasya utama tahun ini, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Kami akan mengadakan mesyuarat di antara pihak ISN, MSN dan KBS untuk mendapatkan jalan terbaik untuk memastikan Malaysia meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020."