Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bersikap terbuka dalam memilih sama ada meneruskan penggunaan kepakaran luar negara atau beralih kepada tenaga tempatan bagi menggalas jawatan pengarah Program Podium selepas ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini perlu mencari pengganti buat Tim Newenham selepas pengarah Program Podium itu yang akan menamatkan khidmatnya secara rasmi pada November ini, menyerahkan surat peletakan jawatannya, semalam.

Namun, Syed Saddiq terlebih dahulu mahu mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum mencari masa sesuai untuk memilih pengganti Newenham sambil berpendapat pasti ada tenaga tempatan yang mampu menggalas jawatan itu.

Malah, mana-mana calon perlu memahami budaya kerja di Malaysia dan mengharapkan pemilihan dilakukan dengan lebih teliti.

"Itu adalah pendapat peribadi saya. Apabila berbincang dengan individu yang berkaitan, seperti yang dinyatakan, apa yang penting adalah kemampuan calon itu," katanya.

"Saya difahamkan Malaysia memiliki ramai calon yang berkelayakan berdasarkan pencapaian sebelum ini bagi membantu pembangunan negara.

"Apa pun yang terjadi, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Newenham kerana telah berkhidmat sekian lama. Dalam masa sama, saya ingin menekankan bahawa prestasi bukan sahaja diukur melalui saingan Sukan Asia tetapi daripada Sukan Komanwel lagi.

"Kami tidak mencapai sasaran Program Podium. Banyak perubahan positif yang perlu dilakukan, daripada struktur organisasi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), bersama pihak kementerian," tambahnya.

Dalam masa sama, Syed Saddiq juga mendapati wujud pembaziran dalam pelaksanaan Program Podium dan memberi bayangan akan melaksanakan penstrukturan semula bagi MSN dan ISN.

"Peruntukan yang diberikan untuk Program Podium terlalu banyak. Sebagai contoh, fokus yang disasarkan untuk atlet tidak sama dengan jumlah dana yang diberikan.

"Ia bukan melibatkan salah laku atau kecurian wang, cuma terlalu banyak jawatan tambahan yang di luar daripada apa yang sepatutnya boleh dilakukan," tambahnya.