Pemain tenis negara, Syed Agil Syed Naguib, kecewa dengan keputusan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) yang bertindak membubarkan program skuad senior untuk 2018.

Ia membabitkan pemain seperti Jawairiah Noordin, S. Theiviya, Ahmad Deedat Abdul Razak dan Syed Agil sendiri.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan semua tonggak negara tidak lagi berlatih sepenuh masa, sebaliknya khidmat mereka akan digunakan bagi saingan tertentu seperti Piala Davis dan Piala Persekutuan.

Keputusan berat itu diambil kerana peruntukan tenis dikurangkan selepas gagal mendapat tempat dalam program utama negara.

"Secara jujurnya, selepas hampir tujuh tahun mewakili Malaysia, kenapa pada 2018 tiba-tiba pendekatan ini diambil?

"Saya tidak faham dengan tindakan pihak pengurusan.

"Saya kecewa, saya bercakap bukan untuk diri sendiri, banyak sukan yang turut dibuang.

"Sebagai atlet tenis, saya bercakap perkara betul," katanya yang kini belum pasti akan mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa tahun ini.

Meskipun berehat selama sebulan ketika keputusan itu diumumkan bulan lalu, Syed Agil bagaimanapun cemerlang melepasi pusingan pertama Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan di Kompleks Tenis Jalan Duta, hari ini.

Dia selaku pilihan ketiga mudah menewaskan Mohd Izzat Afiq 6-2, 6-2.