Atlet bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, mengharapkan tuah kali ketiga tercalon dalam Anugerah Sukan Negara mampu membantunya untuk menggondol Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2018.

Syarul atau mesra disapa "Mike" sudah berkecimpung secara profesional sebagai atlet bina badan selama 10 tahun dan prestasinya kini meletakkan anak jati Kuala Lumpur itu sebaris dengan beberapa jaguh kebangsaan.

Bersandarkan pencapaian meraih emas dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia di Chiangmai, Thailand, Oktober lalu, Syarul kini sudah memperoleh tiga gelaran Mr Universe serta empat kejuaraan Mr Asia.

Syahrul berharap tuah mampu memihak kepadanya apabila dia sudah pun tiga tahun berturut-turut tercalon sebagai olahragawan kebangsaan sejak 2016, namun kerap pulang hampa.

"Saya mahu memenangi anugerah ini kerana ia adalah salah satu impian saya sebagai atlet," katanya menjelang majlis Anugerah Sukan Negara 2018 di ibu negara, malam esok.

Selain Syarul, antara yang turut tersenarai untuk merebut gelaran tersebut adalah jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, dan juga atlet boling tenpin meningkat naik, Rafiq Ismail.

"Berada dalam pencalonan akhir adalah satu perkara yang positif buat saya dan sukan bina badan," katanya lagi.