Legenda bina badan negara, Datuk Malek Noor, meminta Majlis Sukan Negara (MSN) agar mempertimbangkan Syarul Azman Mahen Abdullah sebagai calon Olahragawan Kebangsaan susulan kejayaannya meraih gelaran Mr. Universe buat kali keempat di Korea Selatan minggu lalu.

Syarul Azman atau Mike dalam kalangan rakan-rakan, mencipta sensasi apabila memenangi gelaran Mr. Universe buat kali keempat dalam kategori 'body physique' bawah 170 sentimeter dalam Kejohanan Dunia WBPF Ke-11 di Jeju, Korea Selatan, Sabtu lalu.

Lebih menarik, ia kejayaan bergandanya tahun ini apabila turut bergelar Mr. Asia di Batam, Indonesia, September lalu.

Kejayaan itu sepatutnya meletakkan Syarul Azman antara calon pilihan anugerah Olahragawan Kebangsaan walaupun dia bukan atlet dalam Program MSN.

"Kejayaannya sepatutnya diiktiraf sebagai mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.

"Dia memang patut dicalonkan," kata Malek.

Kali terakhir atlet bina badan dinobatkan Olahragawan Kebangsaan ialah menerusi Sazali Samad pada 2014.

Secara keseluruhan, bekas Mr. Universe itu pernah empat kali meraih gelaran terbabit.

Cuma legenda berusia 63 tahun itu berharap skuad bina badan tidak dipalit dengan isu doping bagi mengekalkan rentak cemerlang tahun ini.