Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, menantikan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membantunya yang berhadapan dengan masalah berat badan tatkala dia masih kekal ingin beraksi dalam kategori 55 kilogram.

Kategori 55kg kekal menjadi pilihannya sambil menagih bantuan MSN dalam usaha melayakkkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syakilla berharap MSN tidak terus berpatah arang dengannya walaupun isu berat badan yang dialaminya kian meruncing.

Dalam tempoh seminggu, keputusan perbincangan berkenaan akan diumum dengan Syakilla dijangka akan mengikuti satu program khusus.

"Buat masa ini, maklum balas daripada MSN adalah positif.

"Kami akan berbincang dan keputusannya akan diketahui Rabu depan untuk mereka menentukan jurulatih dan program latihan buat saya.

"Perkara ini pernah saya lalui, kami tahu apa yang perlu dilakukan dan akan mengusahakannya," katanya.

Syakilla memberi jaminan isu berkenaan tidak akan berlarutan jika dia mendapat sentuhan jurulatih yang sepatutnya selain menganggap kurangnya latihan intensif sejak berakhirnya Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos tahun lalu menyebabkan berat badannya naik secara mendadak.