Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan jaguh karate-do, Syakilla Salni Jefry Krishnan, terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Karate-do K1 selaku kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Rabat, Maghribi, Jumaat ini, berikutan gagal menurunkan berat badan.

Ini kali ketiga Syakilla menarik diri daripada kelayakan Sukan Olimpik ekoran masalah berat badan.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan gagal menurunkan badan badan untuk mencabar kategori 55kg walaupun sudah sebulan berada di Malaysia.

Apa yang mengejutkan, berat badan Syakilla semakin bertambah sehingga terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan K1.

"Ketika ini, dia sepatutnya berada di Rabat tetapi dia masih belum lagi dapat menurunkan berat badan dan dalam masa sama, dia sudah mendapatkan bantuan kecergasan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

"Kami masih berusaha dan kami berharap dia dapat mengikuti rejim latihan yang agresif untuk menurunkan berat badan," jelas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Terlebih dahulu, Syakilla menarik diri daripada menyertai saingan di Paris, Perancis, dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dia juga terpaksa menamatkan kem latihan di Amsterdam, Belanda, lebih awal dan pulang ke Malaysia untuk mengawal berat badan menerusi program latihan secara bersendirian.

"Kami tidak tahu perkembangan terkininya memandangkan dia diletakkan di bawah pemantauan MSN dan ISN.

"Peluangnya tipis tetapi kalau nak berikan kepadanya juga, terpulang kepada MSN kerana Syakilla sendiri yang berhasrat untuk menyertai kejohanan tersebut," kata Setiausaha Agung Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Dalam perkembangan lain, MSN sedang meneliti calon yang terdiri daripada kakitangan badan induk itu bagi mengisi jawatan timbalan chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina 2019, dari 30 November-11 Disember depan.

"Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menawarkan tempat tersebut kepada kakitangan MSN bagi membantu CDM," kata Shapawi.