Atlet karate wanita negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang kini berada di ranking kedua Liga Perdana Karate1 Dunia menyasarkan untuk layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir di Istanbul, Turki bagi terus menghidupkan cabaran memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020.

Atlet kumite bawah 55 kilogram negara itu menunjukkan prestasi mengagumkan setakat ini apabila menjuarai salah satu kejohanan Liga Perdana Karate1 di Paris, Januari lalu.

Malah, dalam kejohanan terakhir di Rabat, Maghribi, Syakilla menduduki tempat ketiga, sekali gus membuktikan kemampuannya untuk beraksi di pentas tertinggi.

Justeru, sasarannya kini mahu kekal di landasan sama di Istanbul, namun berhati-hati akan kemampuan pencabar lain, terutama dari Turki dan Taiwan.

"Untuk saingan di Istanbul, saya memang menyasarkan kedudukan podium emas kerana ia adalah salah satu kelayakan bagi saingan Olimpik. Jadi, sebelum Sukan Asia 2018, kejohanan utama adalah di Turki.

"Seterusnya adalah Kejuaraan Dunia," kata Syakilla Salni.

Dalam masa sama, rakan seperjuangannya, S. Senthil Kumaran, mengakui masih kecewa dengan pencapaiannya tahun ini kerana persembahan terbaiknya hanya mara ke suku akhir di Dubai.

Senthil juga sedar dia tiada pilihan bagi meningkatkan keyakinan menjelang Sukan Asia 2018 dengan mencuba untuk mara sejauh mungkin di Istanbul nanti.

"Tahun lalu, saya bermula di Paris dan sampai ke final sebelum tewas di tangan wakil Uzbekistan. Tahun ini, saya masih belum menikmati pentas final dan kini fokus untuk aksi di Istanbul.

"Saya memberikan komitmen penuh dan cuba mendapatkan pingat emas kerana tidak pernah meraihnya dalam mana-mana saingan liga," ujar Senthil.