Bekas tekong negara, Mohd Syahir Rosdi, lega kariernya masih dapat diselamatkan, terutama selepas diberikan kelonggaran beraksi bersama majikan dalam tempoh penggantungan di sebalik perlu menghadapi tambahan menjalani kerja amal selama 45 jam.

Syahir sudah pun mula menjalankan kerja-kerja amal membabitkan pembangunan sepak takraw tempatan dengan membantu melatih bakat muda yang mahu diserapkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), hari ini.

Zulkifli pula akan menjalankannya di Terengganu memandangkan dia mempunyai komitmen kerja di negeri kelahirannya.

Tambahan 15 jam berbanding hukuman asal 30 jam tidak dirasakan beban, sebaliknya Syahir akur setelah PSM memberi kelonggaran untuk dia beraksi bersama majikannya, Majlis Amanah Rakyat (MARA), untuk mana-mana kejohanan dianjurkan.

"Saya dan Zulkifli perlu menyelesaikan 45 jam kerja amal terlebih dahulu sebelum kembali beraksi pada bulan tiga nanti," kata Syahir.

"Tetapi itu tidak menjadi masalah dan saya gembira kerana dapat beraksi bersama majikan."

Rayuan Syahir dan Zulkifli mendapat persetujuan daripada majlis exco Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila dikurangkan menjadi sembilan bulan daripada tempoh asal, iaitu dua tahun.

"MARA mengambil khidmat saya sebagai pemain sepak takraw, jadi jika tidak dapat beraksi, ia menyukarkan kami untuk menaikkan nama majikan."