Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh, mengakui terpaksa bekerja lebih keras bagi memastikan prestasinya setanding dengan gandingannya, Ooi Tze Liang, dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki dalam Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur, yang berakhir hari ini.

Gandingan negara itu mempamerkan aksi memberangsangkan apabila berjaya meraih pingat emas selepas merekodkan 368.64 mata.

Muhammad Syafiq berkata beliau mengambil masa sebulan untuk berlatih darjah kesukaran yang lebih tinggi daripada 3.0 kepada 3.5 bagi persediaan menghadapi kejohanan ini.

“Memang mencabar apabila saya cuba tingkatkan darjah kesukaran tapi ia berbaloi apabila usaha saya itu berjaya meraih pingat emas.

“Langkah tingkatkan darjah kesukaran itu inisiatif saya untuk berada setanding dengan pasangan saya, Tze Liang. Memang agak sukar tapi ia perlu bagi peningkatan prestasi saya,” katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pingat perak acara itu diraih pasangan Singapura, Timothy Lee-Mark Lee (350.73) manakala pingat gangsa menjadi milik Hrvoje Brezovac-Juraj Melsa dari Croatia (336.06).

Sementara itu, Tze Liang berpuas hati dengan pingat emas keduanya dalam kejohanan kali ini dan dia percaya penglibatannya di saat kebanyakan atlet senior direhatkan daripada sebarang kejohanan memberi pengalaman berharga buatnya.

“Dua pingat emas kali ini, saya puas hati. Ini pengalaman bermakna untuk saya beraksi dalam siri kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, tahun depan,” katanya.

Antara kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik yang bakal disertainya adalah Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea Selatan, Julai tahun depan, dan Piala Dunia Terjun 2020.

Untuk rekod, dalam Grand Prix KL kali ini, Tze Liang meraih pingat emas acara 3m papan anjal lelaki, semalam.

-- BERNAMA